Malaysia dalam Ketidaktentuan Global dan Domestik: Peluang dan Cabaran 2026

KENYATAAN MEDIA | 31 DISEMBER 2025

1. Menjelang tahun 2026, landskap geopolitik global berhadapan tahap ketidaktentuan yang semakin ketara. Pendekatan dasar luar Amerika Syarikat di bawah pimpinan Donald Trump telah memanfaatkan pelbagai instrumen kuasa seperti ekonomi, diplomatik dan keselamatan bagi meneruskan dasar America First yang bersifat neo-kolonial. Instrumen kuasa ini digunakan secara strategik bagi memberi tekanan kepada negara-negara kecil dan memaksa sekutu-sekutu Amerika Syarikat ke dalam perjanjian yang sering kali merugikan kepentingan nasional mereka sendiri.


2. Reaksi negara-negara dunia terhadap dasar luar Amerika Syarikat ini adalah berbeza-beza. Namun begitu, satu trend yang jelas dapat diperhatikan ialah kecenderungan kepada penilaian semula kedudukan geopolitik negara masing-masing serta penekanan yang lebih tegas terhadap perlindungan kepentingan nasional. Senario ini telah menyumbang kepada pengukuhan dasar negara yang lebih bersifat perlindungan (protectionist). Akibatnya, ketegangan dan konflik semakin meningkat, khususnya pertikaian sempadan yang berpunca daripada legasi penjajahan.

3. Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dunia, China sedang bersiap memasuki fasa baharu pengukuhan kuasa nasionalnya melalui Pelan Lima Tahun ke-15 (2026–2030). Pelan ini memberikan fokus kepada kemandirian industri dan teknologi dengan penekanan diberikan kepada penguasaan rantaian nilai strategik serta menghapuskan kebergantungan kepada Barat. Antara sektor kritikal yang disasarkan termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, tenaga boleh diperbaharui, teknologi bateri dan bioteknologi.

4. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat turut memperkukuh strategi kuasa nasionalnya melalui America’s AI Action Plan, yang menjadikan kecerdasan buatan teras keselamatan nasional, daya saing ekonomi dan dominasi teknologi global. Pelan ini memberikan tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI domestik, penguasaan pengkomputeran berskala besar, perlindungan data strategik serta kawalan eksport teknologi bagi mengekang kemajuan China. Melalui pelan ini, AI kini diiktiraf sebagai infrastruktur kuasa nasional yang strategik setaraf dengan sektor tenaga, ketenteraan dan sistem kewangan.

5. Persaingan AI antara Amerika Syarikat dan China membentuk medan pertembungan kuasa baharu abad ke-21. Pertembungan ini melibatkan pembangunan pusat data mega, pengkomputeran awan dan rantaian bekalan cip berprestasi tinggi. Dalam persaingan ini, negara-negara dunia ketiga sering menjadi mangsa apabila dijadikan lokasi operasi sokongan kerana kos tenaga rendah dan kelonggaran peraturan, sekali gus mengancam kedaulatan data dan teknologi nasional negara-negara tersebut dalam jangka panjang.

6. Sementara itu, suasana ketidakstabilan di Timur Tengah terus memuncak apabila Israel secara agresif memperluas pengaruh serantau melalui agenda normalisasi dengan sokongan Amerika Syarikat. Negara-negara Arab dan Afrika berdepan tekanan untuk berada di bawah payung keselamatan dan ekonomi Amerika Syarikat. Pola tekanan yang sama mula dirasai di Asia Tenggara, melalui tawaran perlindungan, keselamatan dan pengiktirafan rejim.

7. Dalam masa yang sama, Israel memposisikan dirinya sebagai hab strategik global yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika. Usaha ini digerakkan melalui pelaburan dalam teknologi maju, ekonomi inovasi serta pembangunan infrastruktur logistik dan digital, bagi menjadikan Israel nod utama aliran perdagangan, data dan teknologi merentas benua, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat strategik global.

8. Hasil kajian IRIS Institute dalam Laporan Strategik Kuasa Nasional Malaysia 2024–2025 mendapati bahawa trend-trend global ini memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap kuasa nasional Malaysia. Di peringkat domestik, terdapat 19 trend utama yang menjejaskan landskap politik, undang-undang, ekonomi, hubungan luar, keselamatan, sosial serta identiti nasional.

9. Laporan ini tidak sekadar menyusun fakta dan data, tetapi berusaha menafsir makna di sebalik perubahan, menilai implikasi terhadap kepentingan nasional, serta mengemukakan beberapa cadangan intervensi bagi memperkukuh daya tahan dan kapasiti strategik negara. Sekiranya tiada intervensi yang dibuat untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, Malaysia akan terus tenggelam dalam arus perubahan yang ditentukan oleh kepentingan luar, bukan oleh kepentingan nasionalnya sendiri.

10. Seterusnya, laporan ini mencadangkan agar pemegang taruh memberi tumpuan kepada enam senario utama pada tahun 2026 dalam membuat keputusan bagi menentukan hala tuju negara:
i) Autonomi Sabah dan Sarawak – Peningkatan tuntutan autonomi serta implikasinya terhadap keutuhan Persekutuan.
ii) Dominasi Ekonomi China – Pengaruh China yang meluas dalam rantaian ekonomi Malaysia, termasuk sektor automotif, sumber alam, teknologi, hartanah, dan peruncitan.
iii) Persaingan AI dan Data Strategik – Percaturan kuasa global dalam teknologi AI serta isu pemilikan dan kawalan data strategik kerajaan yang diproses atau disimpan di luar negara oleh syarikat asing.
iv) Persaingan Sumber Tenaga dan Pelaburan Nadir Bumi – Perebutan sumber tenaga untuk teknologi baharu serta pelaburan asing dalam sektor nadir bumi.
v) Normalisasi Hubungan dengan Israel – Trend normalisasi Israel dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara dan kesannya terhadap dasar luar Malaysia.
vi) Keselamatan Laut China Selatan – Peningkatan pencerobohan sempadan dan tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi krisis.

11. Keadaan ini menuntut reformasi struktural secara menyeluruh. Oleh itu, IRIS Institute menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada keberanian membangunkan semula kepentingan nasional berdasarkan kehendak dan strategi pengupayaan yang mandiri berdasarkan kearifan dan keilmuan tempatan.

12. Sehubungan itu, IRIS Institute menyeru agar wacana kebangsaan 2026 digerakkan secara lebih matang dan strategik melangkaui politik kepartian dan berpaksikan agenda dan kepentingan nasional.

13. Laporan ini diharapkan menjadi panduan strategik dan pemangkin dialog nasional demi memastikan Malaysia kuat, maju dan berdaulat dalam menentukan hala tujunya sendiri dalam keadaan dunia yang semakin kompleks dan suasana geopolitik yang semakin tidak menentu

Untuk mendapatkan laporan penuh secara pra-tempah, sila layari:
https://bit.ly/LSIRIS24-25 

Asyraf Farique
Ketua Pegawai Operasi (COO)
IRIS Institute