BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – Ekonomi Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah model kapitalisme sosial yang mengekalkan sistem dan struktur ekonomi kapitalis.
Pegawai Penyelidik di Jabatan Kajian IRIS Institute, Dr Adilah Zafirah Mohd Suberi berkata, apa yang membezakannya ia menerapkan nilai demokrasi, kebebasan, keadilan dan keamanan segala bangsa.
Menurutnya, itu bukan perkara baharu kerana ia sudahpun diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1990 untuk ‘merawat’ sedikit masalah ekonomi kapitalis.
“PBB menerapkan nilai ‘justice, sustainability, inclusiveness’ yang mana tidak lari daripada nilai-nilai ekonomi Madani ini.
“Ia menekankan integrasi polisi ekonomi dan sosial untuk menangani masalah …tetapi tetap tidak membuat perubahan radikal untuk menangani sistem monopoli dan eksploitasi dalam ekonomi kapitalis itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Selain itu beliau berkata, kajian IRIS Institute mendapati insititusi antarabangsa dan kuasa besar mempengaruhi hala tuju pembangunan nasional untuk kepentingan elit global bukan kepentingan nasional.
Ini dikaitkan dengan konsep imperialisme kapitalis yang mana proses pengeluaran moden dalam sistem ekonomi dunia berhierarki dan tidak sama rata yang dipacu oleh syarikat-syarikat oliogopoli antarabangsa dan negara Global North.
Kedua-duanya mengaut kekayaan yang dijana di negara-negara Global South melalui eksploitasi buruh dan kawalan ke atas kewangan dan teknologi.
Adilah berkata, meskipun Global South ini mempunyai manfaat ekonominya, ia sekadar meningkatkan saiz Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan kadar pendapatan negara.
“Sistem antarabangsa ini sebenarnya mengekang negara-negara lain bangun melebihi yang ada sekarang.
“Sekarang kita ada World Bank Group punya hub ditubuhkan di Kuala Lumpur sejak 2016. Ia memberi tunjuk ajar kepada Malaysia bahkan dijadikan hub untuk rantau ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kajian IRIS Institute mendapati China adalah antara pelabur terbesar di Malaysia dengan peningkatan pelaburan sejak 2003 sehingga kini.
Menurutnya, pelaburan langsung asing (FDI) China di Malaysia tertumpu kepada sektor tenaga dan hartanah.
“FDI China di Malaysia lebih memberi kelebihan kepada negara itu yang mendapat akses kepada pasaran dan sumber kita serta pengaruh geopolitiknya di rantau ini.
“Pada masa sama, Malaysia punya manfaat itu sangat kecil jika dibandingkan China kerana pembuatan, peluang teknologi dan pekerjaan masih terhad,” katanya.
Sumber: Ismaweb.net