Pertarungan R&D dalam Industri Pertahanan Dimana Malaysia?

LANDSKAP EDISI 69 (Ogos 2023)

Ringkasan eksekutif

  1. Industri pertahanan Malaysia kekal dalam sektor penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih (MRO). R&D Malaysia juga tidak menyumbang kepada pengupayaan industri pertahanan Malaysia. Keupayaan bakat dan universiti tidak disalurkan kepada industri pertahanan  
  2. Kepimpinan yang tiada visi untuk menyuntik semangat nasional kepada rakyat
  3. Resolusi kawalan eksport PBB menyekat pembangunan senjata

Latar Belakang Industri Pertahanan di Malaysia

Industri pertahanan di Malaysia bermula sejak tahun 1960. Ketika itu industri pertahanan hanya fokus kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam menyelenggara, memasang dan pembinaan aset-aset. Setelah itu,industri ini berkembang kepada beberapa sektor utama seperti maritim, aeroangkasa, automotif dan persenjataan. Namun, sehingga kini perkembangan industri pertahanan ini adalah pada tahap yang minima. Walaupun industri pertahanan ini telah wujud selepas kemerdekaan tetapi masih bergantung kepada negara luar dari aspek pemerolehan dan pembuatan aset-aset ketenteraan.

Pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan syarikat tempatan telah ditubuhkan bagi membangunkan industri pertahanan. Terdapat syarikat tempatan yang membuat senjata dan bahan letupan, menyediakan keperluan logistik Angkatan Tentera Udara Malaysia, mengeluarkan sijil keupayaan kepada syarikat-syarikat dalam industri pertahanan dan lain-lain.  Sebagai contoh, syarikat SME Ordnance Sdn. Bhd atau dikenali dengan Malaysia Explosive Sdn Bhd., AIROD Sdn. Bhd (Airod Inspection, Repair & Overhaul Depot), Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), DRB HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), dan Majlis Industri Bagi Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES).

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Menteri yang dilantik bagi Kementerian Pertahanan pula secara langsung menjadi Pengerusi Majlis Angkatan Tentera. 

Dalam industri pertahanan, Kementerian Pertahanan merupakan pengurus dan penggubal dasar; ATM merupakan pelaksana dan penggerak; STRIDE pula merupakan institut penyelidikan atau R&D bagi industri pertahanan; MIDES merupakan badan yang mengeluarkan sijil kepada syarikat-syarikat industri pertahanan.  

Industri Pertahanan Malaysia Kekal dalam Sektor MRO

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan pada peringkat awal selepas kemerdekaan. Strategi Import Substitution Industrialisation (ISI) telah diperkenalkan pada tahun 1960 dan 1980 yang bertujuan bagi membangunkan pertahanan negara tanpa bergantung pada import tetapi gagal kerana ketepuan domestik dan tidak mampu menembusi pasaran eksport. Pada tahun 1972 kerajaan telah mewujudkan bahagian industri pertahanan bagi memantau perkembangan industri pertahanan di Malaysia. Syarikat terawal yang terlibat dalam membekalkan dan menghasilkan peralatan senjata kepada angkatan tentera Malaysia hanyalah melibatkan aset-aset yang tidak signifikan. Setelah itu, penubuhan Perkembangan Istimewa Angkatan Tentera (PERISTA) pada penghujung 70an bagi melaksanakan pemodenan ATM namun gagal disebabkan kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980 dan selepas tamat perang dingin. Antara perolehan aset ketenteraan strategik dan berimpak tinggi ketika itu  ialah kenderaan berperisai (Condor dan Sibmas), pesawat pesawat (Skyhawk dan Tigereye) dan kapal tentera laut (kapal Korvet dan kapal kelas Mahamiru). 

Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia sekali lagi telah melaksanakan pemodenan ATM tetapi kali ini secara besar-besaran dan tidak lagi hanya fokus pada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih. Skop industri pertahanan mula meluas kepada sektor baharu seperti ICT, perkhidmatan, pembuatan dan komoditi bagi memperkasakan industri pertahanan setanding dengan negara lain. ATM telah memperoleh FA-18 Hornets, MIG-29N Fulcrum, Hawk MK108, SU30MKM42, Battle Tanks, PT-91M, Scorpene (Kapal Selam), Astros II dan G5 MKIII pelancar peluru berpandu jarak dekat, Styer Sniper Gun dan beberapa jenis lain. 

Setelah itu, sekitar tahun 2010-2022 kerajaan hanya fokus membuat penstrukturan semula Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIDC) dan menukar nama kepada Majlis Perindustrian Malaysia untuk Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES). Kerajaan juga cuba mencadangkan Dasar Industri Pertahanan Negara dan Keselamatan Negara yang baharu yang sepatutnya akan dilancarkan pada Mei 2023 tetapi masih tertangguh. Pada masa hadapan, pertahanan Malaysia dijangka bakal bergantung lebih kepada teknologi hijau, artificial intelligent, robotik dan lain-lain. Walaubagaimanapun, perbandingan peratus perbelanjaan ketenteraan antara negara secara kasar berbanding GDP negara dilihat semakin berkurang dari tahun ke tahun seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah. Perbandingan ini melibatkan negara Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia, yang mana Malaysia dan Filipina pada kedudukan yang sama.

Rajah 1: Peratus Perbelanjaan Ketenteraan Malaysia Berbanding GDP 1960-2021

R&D Malaysia Tidak Menyumbang Kepada Pengupayaan Industri Pertahanan Malaysia

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan industri pertahanan Malaysia stagnant. Kebanyakan penyelidikan dan pembangunan yang dibuat di Malaysia hanya bersifat komersial, yang mana pengkomersialan merupakan salah satu hasil penting dalam aktiviti penyelidikan. Secara umum, perbelanjaan Malaysia dalam R&D pada tahap yang rendah. Malah, peruntukan bajet bagi R&D dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) telah berkurang sejak tahun 2017 lagi. 

Rajah 2: Peratus Perbandingan Perbelanjaan R&D Antarabangsa berbanding GDP 

Pelaksanaan dan pembangunan R&D yang lemah ini turut sama berlaku dalam industri pertahanan. Data ini dapat dilihat dalam Jadual 1 di bawah, yang mana peratus perbelanjaan R&D pertahanan daripada GDP negara hanya 0.001%. Perbelanjaan tersebut dibandingkan dengan beberapa buah negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Data eksport dan import peralatan ketenteraan negara juga menunjukkan kebergantungan kepada teknologi luar. Eksport Malaysia hanya bernilai 103 USD manakala import bernilai 849k USD pada tahun 2021. Walaupun Malaysia memiliki kilang semikonduktor iaitu Silterra Malaysia Sdn Bhd yang menghasilkan end-product semikonduktor, namun ianya hanya dipasarkan ke luar negara sahaja. Silterra merupakan satu-satunya kilang semikonduktor yang ada di Malaysia yang mampu menarik pelaburan teknologi tinggi ke dalam negara tetapi tidak mampu menampung jumlah permintaan yang tinggi.

Jadua 1: Peratus Perbandingan Perbelanjaan R&D Pertahanan berbanding GDP

NegaraPerbelanjaan R&D Pertahanan (USD)Peratus berbanding GDP
Jepun2.64 bilion (2022)0.05%
Korea Selatan4.14 bilion (2022)0.25%
Singapura425 juta0.11%
Malaysia4.22 juta0.001%

Keupayaan Bakat dan Universiti Tidak Disalurkan Kepada Industri Pertahanan 

Malaysia tiada pool of talent  bagi aktiviti R&D industri pertahanan disebabkan kurang pelaburan dan galakan. Kebanyakan biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar terbaik adalah bidang-bidang perbankan, perubatan, kejuruteraan tetapi hampir tidak ada bidang pembangunan dan penyelidikan dalam industri pertahanan. Sebagai contoh, pelajar terbaik diberi tempat yang sudah membangun seperti Petronas. Apatah lagi membawa masuk bakat daripada luar, perkara ini agak mustahil. Peranan universiti dalam R&D juga tidak dibangunkan untuk inovasi teknologi pertahanan seperti yang dibuat oleh Turki. Di Turki, universiti yang berkaitan dengan pembangunan teknologi diletakkan dibawah agensi kerajaan bernama Tubitak yang berada di bawah Presiden secara langsung, tidak diletakkan di bawah pengajian tinggi. Ditambah pula masalah brain drain, ramai bakat-bakat tempatan yang berhijrah ke luar negara kerana mendapat peluang yang lebih baik berbanding di dalam negara. 

Teknologi Ketenteraan yang kompleks menyukarkan Inovasi Baharu

Perkembangan teknologi yang semakin kompleks menyukarkan telah pembangunan R&D industri pertahanan. Hal ini disebabkan sumber atau komponen yang ingin diperoleh perlu didapatkan daripada pelbagai tempat atau negara. Kemahiran turut diperlukan dalam memahami kepelbagaian fungsi dan kegunaan teknologi baru sesuatu peralatan atau senjata. 

Eksesais Keris Strike Siri 28/2023 yang berlaku baru-baru ini menunjukkan kebergantungan negara kepada kepakaran dan teknologi luar iaitu Amerika Syarikat. Eksesais ini melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United States Army Pacific Command (USARPAC). Teknologi yang sudah sedia ada lebih mudah untuk dimiliki berbanding membangunkan teknologi sendiri yang sudah tentu mengambil masa yang lebih lama.  

Kepimpinan yang Tiada Visi Untuk Menyuntik Semangat Nasional kepada Rakyat

Masalah kepimpinan yang tidak mahu mengangkat jati diri bangsa menjadikan keadaan agak sukar dalam menyuntik motivasi nasional melalui kehebatan dan kejayaan tamadun lepas kepada masyarakat dalam membangunkan aset ketenteraan. Turki dilihat berjaya membangunkan industri pertahanan negara dengan membawa naratif kegemilangan kerajaan Uthmaniyah suatu ketika dahulu. Walaupun masih pelajar ijazah sarjana muda tetapi sudah memiliki visi membina projek tahun akhir yang ingin disumbangkan  untuk kemajuan teknologi negara. Tambahan pula, isu politik negara turut memberi kesan terhadap pembangunan dasar dan polisi pertahanan negara yang kerap kali bertukar. 

Resolusi Kawalan Eksport PBB Menyekat Pembangunan Senjata 

Akhir sekali, walaupun Malaysia berusaha untuk membangunkan teknologi pertahanan, Malaysia tidak mampu mendapatkan barangan dan teknologi disebabkan sekatan  yang dibuat melalui sistem kawalan eksport oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Majlis Keselamatan PBB meluluskan Resolusi supaya setiap negara anggota perlu mewujudkan kawalan eksport ini kerana menganggap ia mungkin akan digunakan untuk aktiviti keganasan. Bagi mereka, inovasi pembangunan senjata boleh mengancam ketenteraman pihak lain walaupun dalam konteks hendak menjaga kedaulatan negara. Antara senarai kategori item dalam kawalan  tersebut adalah seperti barang yang berkaitan nuklear, elektronik, marin, navigasi, dan lain-lain lagi. Disebabkan resolusi ini, Malaysia telah mewujudkan Akta Perdagangan Strategik 2010. 

Rumusan

Pembangunan R&D negara terutama dalam industri pertahanan masih ketinggalan. Secara umum, sektor R&D ini masih kurang mendapat perhatian dan masih bergantung kepada teknologi luar. Tanpa visi yang jelas dalam meningkatkan motivasi R&D pertahanan, agak sukar untuk melaksanakan untuk jangka masa panjang. Malah, wujud sekatan antarabangsa dalam pembelian senjata/teknologi kritikal yang dibenarkan kepada Malaysia. 

Rujukan

  1. Abdullah, E., & Zahari, H. M. (2023). Defence Industry in Malaysia: Learning from the Past, Enhancing the Present and Synergizing the Future of Defence Industrialization. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 13(3), 1396 – 1412.
  2. Balakrishnan, K., & Johar, T. N. (2022). The Role of Stakeholders in Managing Government Research and Development Funding for Defence Industrial Innovation: The Case of Malaysia. Defence and Peace Economics, 1-20.
  3. Batau, M. F. B. A., Osman, N., & Keling, M. F. (2020). Kepentingan Industri Pertahanan Malaysia Kepada Keselamatan Negara. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(2), 7-12.
  4. Berita Harian. (2023). Jawatankuasa STEM babitkan 3 kementerian tangani isu ketidakpadanan graduan bidang itu.
  5. JPA. (N.d). Perlembagaan Persekutuan.
  6. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). (2020). Laporan Petunjuk Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia 2020.
  7. Mastic. (2020). International Comparison of R&D Expenditure as a Percentage of GDP.
  8. Observatory of Economic Complexity. (2023). Military Weapons in Malaysia.
  9. Parlimen Malaysia. (N.d). Sejarah Institusi.
  10. Sinar Harian. (4 Ogos 2023). Pertukaran teknologi ketenteraan Malaysia-AS.
  11. Sinar Harian. (31 Julai 2023). PM mahu sistem perolehan aset tentera dirombak.
  12. Temu bual bersama pakar. (2023). Wacana Intelektual IRIS.
  13. The Star. (12 Jun 2023). LTAT completes take-over of Boustead Holdings.
  14. World Bank. (2023). Military Expenditure.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *