BANGI: Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS) Institute menganjurkan Persidangan Antarabangsa dalam Kajian Rentas Disiplin dan Strategik (ICRIS 2021) buat julung kalinya bertemakan “Kemandirian dan Kemampanan Sumber Nasional”.

Penasihat Persidangan, Prof Madya Kapt (B) Dr Azmil Hashim berkata usaha membincangkan kemampuan Malaysia dalam mengurus serta membangunkan sumber nasional perlu diutamakan bagi menghadapi ancaman global seperti pandemik COVID-19.

Dr Azmil (Penasihat ICRIS dan Ahli Lembaga Pengarah IRIS Institute) sedang berucap bagi merasmikan majlis Persidangan ICRIS 2021 semalam

“Malaysia berpotensi untuk menjadi negara yang mandiri dan mampan dari sudut sumber nasionalnya serta mampu menghasilkan pelan pengurusan sumber yang mampu menandingi negara-negara maju lain.”

“Ini adalah kerana, Malaysia memiliki sumber mineral yang sangat bernilai yang dapat digunakan untuk pembangunan industri di negara ini. Malah, Malaysia juga memegang pasaran global untuk pusat data dan berpotensi untuk menjadi hab data serantau. Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut dan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak,” katanya.

“Justeru, selaras dengan fungsi IRIS Institute, berperanan sebagai pusat penyebaran keintelektualan merentas disiplin, maka penganjuran persidangan antarabangsa ini akan menjadi salah satu perkembangan interdisplinari diskusi ilmu di antara ilmuwan, ahli akademik, mahasiswa, mahasiswi dan masyarakat umum mengenai kemandirian dan kemampanan sumber nasional,” katanya.