Oleh: IRIS Institute

1. Pusat Kajian IRIS Institute (Interdisciplinary Research & International Strategy) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin bin Yasin atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

2. Pelantikan beliau oleh YDPA adalah satu langkah yang terbaik dalam mengembalikan kestabilan politik negara.

3. Dalam situasi domestik dan antarabangsa yang amat mencabar, kami berharap agar kerajaan yang baru di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dapat berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang kompeten, mendahulukan kepentingan rakyat, dan jauh daripada pengaruh atau kepentingan pihak tertentu.

4. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar kerajaan baru ini memberikan fokus penuh dalam menghadapi perkara-perkara yang boleh mengancam kestabilan dan merungkai kedaulatan negara.

5. Kajian kami mendapati bahawa nilai-nilai teras utama dalam dasar keselamatan negara semakin dicabar, khususnya kedaulatan dan keutuhan wilayah, kestabilan sosio-politik, dan kesepaduan nasional.

6. Situasi dan polisi kerajaan sebelum ini telah menyebabkan perpaduan nasional diganggu oleh pihak berkepentingan, sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen disalahguna, limpahan warga asing yang tidak pulang ke negara asal, wilayah dan sempadan perairan negara dicerobohi, serta berlakunya campur tangan asing melalui pelaburan luar yang tidak terkawal.

7. Semua situasi di atas mengundang ancaman kepada seluruh rakyat Malaysia. Tanpa keselamatan dan kestabilan negara, keamanan dan kemakmuran tidak mungkin dapat dikecapi.

8. Semoga kerajaan baru di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat menegakkan kedaulatan tanah air kita yang tercinta.

IRIS Institute
(Interdisciplinary Research & International Strategy)
3 Mac 2020