Strategic · Global · Distinctive
IRIS Institute
Contact
Contact us

admin@iris.institute 018-208 4917

Radar

Kerajaan Persekutuan Setuju Beri Kuasa Perundangan Kepada Sarawak Dalam Bidang Alam Sekitar, Perkukuh Autonomi Negeri

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi kuasa perundangan kepada Sarawak dalam bidang alam sekitar menerusi pindaan Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) 2026, sekali gus menjadi langkah penting dalam memperkukuh autonomi negeri…

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi kuasa perundangan kepada Sarawak dalam bidang alam sekitar menerusi pindaan Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) 2026, sekali gus menjadi langkah penting dalam memperkukuh autonomi negeri itu selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri telah bersetuju menerima memorandum berhubung pindaan perintah berkenaan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Astro Awani

Pindaan itu telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan. – Astro Awani

Beliau berkata penyempurnaan pindaan itu merupakan langkah penting sebelum pemakaian Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada kerajaan negeri. – Astro Awani

Penyerahan kuasa perundangan dalam bidang alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengurusan buangan terjadual.  – Astro Awani

Perkembangan itu menyusuli usaha Sarawak memperkukuh kerangka perundangan sendiri dalam pengurusan sumber asli dan alam sekitar.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024, yang menyediakan peruntukan bagi membolehkan negeri itu mengawal selia aspek penting seperti pemuliharaan sumber, pengurusan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembangunan mampan. – Fokus

Dari sudut perlembagaan, pemberian kuasa berkenaan dilaksanakan menerusi Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan kuasa perundangan Persekutuan diperluas kepada badan perundangan negeri melalui suatu perintah. – JPM

Peruntukan itu turut menjadi asas kepada peluasan kuasa perundangan Sarawak dalam bidang lain sebelum ini, termasuk elektrik dan pengagihan gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebelum ini menegaskan bahawa kuasa perundangan yang dimiliki DUN Sarawak di bawah Perkara 95C merupakan hak penting bagi membolehkan negeri itu menggubal undang-undang berdasarkan kepentingannya sendiri. – TVS

Beliau turut menekankan kepentingan mempertahankan kuasa tersebut sebagai sebahagian daripada autonomi Sarawak. – TVS

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata sebanyak 16 daripada 29 perkara utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan sepenuhnya. – The Star

Beliau berkata, tiga perkara lagi berada pada peringkat penyelesaian interim atau sebahagian, manakala baki 10 perkara masih dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).  – The Star

Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute

_ _ _ _ _

RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Asalnya diterbitkan di FOKUS.

Continue reading

More insights

All insights