Di sebalik perjanjian REE Malaysia-Perancis: Jepun, Amerika Syarikat raih manfaat strategik
Kerjasama Malaysia-Perancis dalam industri unsur nadir bumi (REE) bakal memberikan manfaat strategik kepada Jepun dan Amerika Syarikat, khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap China bagi mendapatkan bekalan mineral kritikal.
Kerjasama Malaysia-Perancis dalam industri unsur nadir bumi (REE) bakal memberikan manfaat strategik kepada Jepun dan Amerika Syarikat, khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap China bagi mendapatkan bekalan mineral kritikal.
Penaiktarafan hubungan strategik Malaysia-Perancis membolehkan eksport bahan mentah REE negara ke Paris sebagai timbal balas kerjasama pembangunan industri pemprosesan.
Lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia pada 17 November menyaksikan hubungan kedua-dua negara dipertingkatkan kepada perkongsian strategik. – Reuters
Lawatan berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai mineral kritikal, dengan Malaysia bersetuju mengeksport sebahagian bahan mentah REE kepada Perancis sebagai sebahagian daripada kerjasama pembangunan industri pemprosesan. – Reuters
Kerjasama itu digerakkan menerusi usaha sama antara syarikat Perancis, Carester dan Malaco Mining Sdn Bhd bagi membangunkan industri pemprosesan REE menerusi pemindahan teknologi, dengan sebahagian pengeluaran akan diproses di Perancis.
Projek di bawah perjanjian usaha sama selama 10 tahun itu melibatkan pembinaan kemudahan pemisahan REE di Perak dengan kapasiti pemprosesan kira-kira 13,000 tan metrik setahun, yang dijangka memulakan operasi pada awal 2027. – FMT
Mengulas lanjut, Macron berkata projek berkenaan membolehkan aktiviti perlombongan dan pemprosesan dijalankan secara tempatan, manakala sebahagian hasil pengeluarannya dibekalkan ke Perancis untuk diproses bagi menjamin rantaian nilai industri negara itu. – Reuters
“Langkah ini juga penting sebagai sebahagian daripada usaha Perancis mempelbagaikan sumber bekalan mineral kritikal dan mengurangkan kebergantungan terhadap China yang mendominasi rantaian bekalan REE global,” katanya. – Reuters
Manfaat rantaian bekalan ini turut merangkumi Jepun yang membentuk kerjasama tiga hala dengan membiayai projek Carester di Perancis serta berpotensi menyertai usaha sama di Malaysia demi menjamin bekalan REE beratnya.
Pada Julai 2026, Menteri Perdagangan Luar Perancis, Nicolas Forissier mendedahkan Jepun membiayai separuh kos loji Caremag di Perancis dan berpotensi menyertai usaha sama Carester-Malaco di Malaysia, membentuk kerjasama tiga hala antara ketiga-tiga negara. – FMT
Penglibatan Tokyo dalam Caremag dimuktamadkan pada Mac 2025 menerusi pelaburan sehingga €110 juta oleh Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) dan Iwatani Corporation melalui usaha sama Japan France Rare Earths Co., Ltd. bagi membangunkan loji REE di Lacq, Perancis. – Aclima
Sebagai timbal balas pelaburan itu, Jepun memperoleh kontrak bekalan jangka panjang bagi 50 peratus pengeluaran REE berat Caremag merangkumi disprosium dan terbium. – Aclima
Dua unsur kritikal tersebut penting bagi pembuatan magnet berprestasi tinggi untuk motor kenderaan elektrik (EV), turbin angin dan komponen elektronik.
Akses Jepun kepada bekalan REE berat melalui Caremag berpotensi memperkukuh keupayaan industri magnetnya, sekali gus menyokong peranannya dalam rantaian bekalan teknologi Amerika Syarikat.
Pada 27 Oktober 2025, Jepun dan Amerika Syarikat memeterai kerangka kerjasama bagi menjamin bekalan mineral kritikal dan REE melalui pembangunan aktiviti perlombongan, pemisahan dan pemprosesan. – USGS
Kerangka tersebut bertujuan menyelaras pelaburan serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bagi memenuhi keperluan industri kedua-dua negara.
Jepun mempunyai kepentingan khusus dalam kerjasama ini kerana negara tersebut memiliki kepakaran teknologi dalam pemprosesan REE dan pembuatan magnet berprestasi tinggi.
Syarikat seperti Shin-Etsu Chemical, Hitachi Metals (Proterial) dan Sojitz, mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan magnet neodimium-besi-boron (NdFeB) dan samarium-kobalt (SmCo). – SFA
Kepakaran tersebut turut menyokong kedudukan Jepun sebagai pembekal magnet kekal kepada pasaran Amerika Syarikat.
Berdasarkan data perdagangan 2024, Jepun merupakan pembekal magnet kekal kedua terbesar kepada Amerika Syarikat selepas China, dengan nilai import masing-masing sekitar AS$28.05 juta (459,002 Kg) dan AS$445.49 juta (25,397,400 Kg). – WITS
Rantaian bekalan Carester turut menarik kepentingan syarikat Amerika Syarikat, USA Rare Earth, yang mengambil pegangan dalam syarikat induk Caremag bagi membuka laluan akses kepada bekalan oksida REE.
Pada Julai 2026, USA Rare Earth memeterai perjanjian bagi memperoleh pegangan minoriti sebanyak 13.6 peratus dalam Carester SAS, iaitu syarikat induk kepada Caremag. – USA Rare Earth
Menerusi pegangan itu, USA Rare Earth bersama anak syarikatnya, Less Common Metals Europe, berpotensi mendapatkan sebahagian pengeluaran oksida REE daripada loji Caremag. – USA Rare Earth
Selain mineral kritikal, pertemuan antara Macron dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur itu turut menyaksikan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan serta peralihan tenaga. – Reuters
Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute
RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.
Asalnya diterbitkan di FOKUS.


