Secara politiknya; ECRL dulunya adalah alat untuk mengalihkan sokongan politik golongan pengundi Melayu B40 khususnya di Pantai Timur kepada Najib. Pembatalan ECRL mungkin membawa implikasi negatif kepada sokongan politik terhadap kerajaan PH apatah lagi dalam keadaan PH mengalami defisit undi dan kepercayaan di Pantai Timur.

Secara ekonominya; ECRL menelan belanja yang besar (mencecah RM100 bil) dan membawa ikatan hutang yang besar (RM 0.5 bil per tahun) berdasarkan kontrak dengan CCCC yang dibuat pada zaman Najib dulu. Pelbagai kajian menyatakan pulangan ekonomi pula tidak setimpal dengan pelaburan dan hutang untuk ECRL.

Jika kontrak ECRL dengan CCCC dibatalkan, denda yang perlu dibayar adalah sekitar RM22 bil (data pada Ogos 2018) namun secara jangka panjang mungkin ianya lebih jimat dan berhemat. Jika ECRL diteruskan dengan kontrak/developer yang berbeza (yang membina sahaja dan bukannya yang meminjamkan duit seperti CCCC), ada kemungkinan ECRL boleh membawa pulangan ekonomi yang dapat menampung kos, dan mungkin juga dapat menampung bayaran denda langgar kontrak.

Image result for mahathir xi jinping
Dasar luar Malaysia terhadap China menjadi fokus hangat selepas PRU-14 apabila Tun Mahathir menggantikan perdana Menteri sebelumnya, Najib Razak

Secara dasar luar Malaysia terhadap China; ECRL dilihat sebagai antara ‘cagaran’ utama terhadap hubungan luar Malaysia-China di zaman Najib. ECRL bagi China bukan berada di prioriti tertinggi berbanding projek keretapi yang lain di Asia Tenggara, namun dengan kerelaan kerajaan Najib untuk membuat kontrak yang menguntungkan China, ECRL dilihat sebagai projek yang meletakkan Malaysia dalam ‘orbit pengaruh’ China.

Bagi Najib ini adalah soal yang penting kerana seperti yang beliau katakan, China ialah ‘pasaran yang amat besar untuk Malaysia’. Walau bagaimanapun, jika kontrak ECRL dengan China dibatalkan, ia tidak bermakna kerajaan PH mengubah dasar luar terhadap China.

Selain ECRL dan Forest City (sektor swasta), projek lain yang melibatkan China masih dialu-alukan oleh kerajaan PH. Hatta projek yang menjadi perhatian (kerana isu kedaulatan dan keselamatan) seperti Malaysia-China Kuantan Industrial Port (MCKIP) disebut akan menjadi tumpuan kerajaan Malaysia dengan China. Selain itu, ada kemungkinan kerajaan PH ingin membawa masuk developer negara asing yang lain (seperti Jepun contohnya) untuk mengimbangi pengaruh pelaburan China di Malaysia.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
CEO IRIS Institute

* Artikel ini pernah disiarkan dalam laman web Fokus.my bertarikh 29 Januari 2019