Strategic · Global · Distinctive
IRIS Institute
Contact
Contact us

admin@iris.institute 018-208 4917

CEO Letter

Pakatan Mekah dan MoU Badr: Di Mana Malaysia?

Dua seni bina keselamatan baharu dunia Islam muncul dalam tempoh tujuh bulan — Pakatan Pertahanan Mekah dan MoU Badr. Malaysia tidak tersenarai dalam kedua-duanya. Di mana kedudukan kita?

Latar Belakang

Dalam tempoh 7 bulan sejak perang Amerika-Iran di Timur Tengah, dunia Islam menyaksikan kemunculan dua seni bina keselamatan Baharu, Pakatan Pertahanan Mekah (Ogos 2026) dan MoU Badr (21 Oktober 2026). Perkembangan ini didorong oleh tindakan Amerika Syarikat yang mahu menghentikan pengoperasian pengkalan tentera mereka di Timur Tengah. Negara-negara Teluk seperti Saudi dan Qatar melihat mereka perlu mandiri dari sudut kebergantungan persenjataan dan pertahanan kerana Amerika Syarikat tidak lagi mampu melindungi mereka.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi yang menjelaskan pendirian negara terhadap perkembangan ini. Malaysia tidak tersenarai dalam kedua-duanya. Tujuan artikel ini diutarakan bukan sekadar untuk mengikut trend, tetapi Ini soal kedudukan strategik Malaysia dalam susunan kuasa yang sedang terbentuk. Adakah kita mahu menjadi sebahagian daripada pihak yang merangka aturan baharu, atau sekadar menjadi pemerhati yang akhirnya terpaksa menyesuaikan diri dengan keputusan yang dibuat oleh orang lain?

Pakatan Pertahanan Mekah & MoU Badr

Perkara Pakatan Pertahanan Mekah MoU Badr
Tarikh Ditandatangani 7 Ogos 2026, Istana Al-Safa, Mekah Ditandatangani 21 Oktober 2026, Doha
Ahli Arab Saudi, Pakistan, Türkiye Qatar, Pakistan, Türkiye, Indonesia
Sifat Serangan ke atas satu ahli dianggap serangan ke atas semua (gaya Artikel 5 NATO), merujuk Artikel 51 Piagam PBB Pengeluaran bersama, perkongsian teknologi, latihan teknikal, R&D
Struktur Jawatankuasa Strategik Politik dan Pertahanan (Menteri Luar, Menteri Pertahanan, Panglima); sekretariat di Arab Saudi; Setiausaha Agung pertama dari Pakistan Kementerian pertahanan keempat-empat negara, agensi pengeluaran pertahanan Pakistan dan Presidensi Industri Pertahanan Türkiye
Asas Menaik taraf perjanjian Saudi–Pakistan 17 September 2025 Projek sedia ada Türkiye dengan ketiga-tiga rakan

Pakatan Mekah ialah pakatan pertahanan bersama berteraskan ketenteraan. MoU Badr pula ialah kerjasama industri pertahanan yang berorientasikan kemandirian. Indonesia jiran kita terlibat dalam landasan kedua, bukan Pakatan Mekah.

Pakatan Mekah mengikat negara anggotanya selama sedekad tanpa hak untuk keluar. Pakistan menyatakan bahawa lebih enam negara berminat menyertainya, manakala Bangladesh memberi isyarat akan mempertimbangkan penyertaan secara positif sekiranya dijemput. Kemasukan anggota baharu pula memerlukan konsensus tiga anggota teras.

MoU Badr pula bergerak melalui logik yang berbeza, menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi untuk membina kemandirian industri pertahanan. Qatar menyediakan modal dan merancang pembangunan hab pengeluaran pertahanannya sendiri. Türkiye membawa keupayaan teknologi dan pengeluaran, termasuk pembekalan dron serta kenderaan berperisai kepada Qatar, pembinaan kapal perang bersama Pakistan, dan pembangunan kereta kebal bersama Indonesia. Pakistan pula menyumbang pengalaman industri pertahanan serta keupayaan penangkisan nuklear yang, menurut Menteri Pertahanannya, boleh disediakan untuk Arab Saudi.

Namun, kredibiliti Pakatan Mekah masih perlu dibuktikan melalui tindakan. Pada 10 September, Pakistan menyatakan bahawa tindak balas ketenteraan segera terhadap serangan Houthi ke atas Arab Saudi bukan sesuatu yang sedang dipertimbangkan. Pada Oktober, ketiga-tiga negara pula dilaporkan bersetuju dalam mesyuarat tergempar untuk mengerahkan pasukan tentera ke Arab Saudi.

Perkembangan ini memperlihatkan dua dimensi pembinaan kuasa yang berbeza, jaminan pertahanan bersama dan kemandirian industri pertahanan. Yang pertama menguji kesediaan negara mempertahankan sekutu; yang kedua membina keupayaan supaya negara Islam tidak terus bergantung pada kuasa luar.

Pendirian Rasmi Malaysia: Senyap

Sehingga 22 Oktober 2026, tiada kenyataan rasmi Wisma Putra atau MINDEF yang ditemui mengenai Pakatan Mekah atau MoU Badr, sama ada untuk menyatakan sokongan, penolakan atau minat menyertainya. MoU kerjasama pertahanan Malaysia dengan Amerika Syarikat pada Disember 2025, serta dokumen Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) yang ditandatangani dengan Jepun pada 20 Oktober 2026 (termasuk sistem anti-dron bernilai ¥1.65 bilion), sebenarnya satu signal, bahawa kita bukan mengambil pendekatan autonomi strategik, tetapi semakin diheret ke dalam hegemoni barat di Rantau Asia Pasifik.

Bagi Malaysia, persoalannya bukan sekadar sama ada kita perlu menyertai mana-mana landasan ini. Persoalan yang lebih asas ialah, apakah kepentingan strategik negara, apakah keupayaan yang perlu kita bina, dan di manakah kedudukan Malaysia dalam seni bina keselamatan dunia Islam yang sedang berkembang? Adakah dasar berkecuali adalah dasar yang akan menyelamatkan kita sampai bila-bila? Atau ianya adalah sebenarnya fatamorgana yang akan mengakibatkan kita terheret dalam salah satu blok kuasa dunia, sama ada yang dipimpin oleh Amerika Syarikat ataupun China?

Kebergantungan Senjata Dunia Islam

Lebih separuh (54%) import senjata negara Asia Barat dalam 2021–25 datang dari Amerika Syarikat. AS sendiri menguasai 42% eksport senjata dunia, lebih daripada gabungan tujuh pembekal berikutnya.

Satu pembekal menguasai 31–99% import senjata negara Islam utama

Sumber: SIPRI Arms Transfers Database, Mac 2026 · tempoh 2021–25

Masalahnya bukan siapa pembekal, tetapi kebergantungan kepada satu pembekal. Pakistan beralih daripada Barat, tetapi kini 80% bergantung kepada China. Hanya Türkiye yang benar-benar berubah daripada pengimport kepada pengeksport: eksportnya naik 122% dan kini ke-11 terbesar dunia, dengan Pakistan sebagai pelanggan utama. Inilah model yang cuba disebarkan melalui MoU Badr.

Pengajaran Pahit: Norway dan Peluru Berpandu NSM

Perkara Butiran
Kontrak Naval Strike Missile (NSM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace, April 2018, bernilai RM571.9 juta, untuk LCS dan frigat kelas Lekiu
Sudah dibayar Kira-kira €126 juta (≈ RM583 juta), 95% nilai kontrak
Keputusan Norway Lesen eksport dibatalkan secara sepihak (April–Mei 2026); teknologi dihadkan kepada sekutu rapat termasuk NATO
Tuntutan Malaysia €226 juta (≈ US\$257 juta, melebihi RM1 bilion): €129.86 juta kerugian langsung + €96.26 juta kos tambahan dan berbangkit
Tindakan kerajaan Kabinet hentikan semua perolehan baharu dari Norway (8 Julai 2026); tindakan undang-undang terhadap Kongsberg
Status terkini Menteri Pertahanan (5 Oktober 2026): Norway enggan campur tangan, proses dijangka panjang
Kesan operasi LCS 1 dijadual diserahkan Disember 2026, berkemungkinan tanpa sistem NSM

Malaysia telah membayar 95% daripada harga perolehan, tetapi masih belum menerima peluru berpandu susulan satu keputusan di Oslo. Inilah antara gambaran paling nyata tentang kos kebergantungan dalam pertahanan kepada barat.

Pengajarannya jelas, negara yang mengawal lesen eksport turut memegang sebahagian daripada kedaulatan strategik kita. Keupayaan pertahanan sesebuah negara bukan sekadar bergantung pada kemampuan membeli, tetapi juga pada jaminan bekalan, kawalan teknologi dan kebebasan menggunakan aset yang telah diperoleh.

Pilihan ini bukan sekadar soal spesifikasi, harga atau tempoh penghantaran. Ia ialah keputusan strategik tentang siapa yang akan membekalkan keupayaan pertahanan kita, sejauh mana kita boleh bergantung pada mereka, dan berapa besar ruang yang kita miliki untuk membuat keputusan sendiri ketika krisis.

Dalam pertahanan, kebergantungan bukan sekadar isu perolehan. Ia isu kedaulatan.

Kekuatan Malaysia: Kedudukan Geografi (Maritim) dan Diplomasi

Dalam MoU Badr, setiap negara membawa kelebihan strategiknya sendiri, Qatar dengan kekuatan modal, Pakistan dengan teknologi pertahanan dan keupayaan penangkisan nuklear, Türkiye dengan pengalaman membangunkan industri pertahanan, manakala Indonesia dengan skala dan kekuatan maritim.

Malaysia juga mempunyai aset strategik untuk ditawarkan. Persoalannya, sejauh mana kita bersedia memanfaatkannya?

Pertama, kuasa maritim. Malaysia mempunyai kedudukan strategik di Selat Melaka dan Laut China Selatan, dua ruang maritim penting bagi perdagangan dan aliran tenaga Asia. Kita juga mempunyai pengalaman membangunkan kapal tempur melalui program LCS serta keupayaan penyelenggaraan aset tentera laut. Indonesia membawa naratif maritim yang kuat (Indonesia sebagai poros maritim dunia), Malaysia berpotensi melengkapkan kekuatan itu melalui kerjasama ilmu, industri, penyelenggaraan dan keselamatan laluan laut, bukannya bersaing untuk ruang pengaruh yang sama.

Kedua, diplomasi. Keanggotaan Malaysia dalam OIC, NAM dan ASEAN memberikan kita jaringan hubungan merentasi pelbagai blok geopolitik. Jika Pakatan Mekah berpusat di Asia Barat, Malaysia berpotensi menjadi penghubung strategik ke Asia Tenggara, rantau yang penting dari segi laluan perdagangan, keselamatan maritim dan rantaian bekalan.

Kedua-dua kelebihan ini membuka ruang untuk Malaysia menyumbang bukan semata-mata sebagai pembeli sistem pertahanan, tetapi sebagai rakan yang membawa nilai strategik kepada kerjasama antara negara.

Namun, potensi tidak sama dengan keupayaan yang telah dibuktikan. Malaysia masih perlu menentukan sumbangan khusus yang mampu ditawarkan, membina kapasiti industri yang diperlukan dan merangka pendekatan diplomatik yang jelas.

Ambil Posisi, Bukan Tunggu dan Lihat

Dunia sedang berubah. Negara kuasa pertengahan yang mempunyai agensi mahu lebih mandiri, tanpa terikat kepada kuasa besar. Pakatan Mekah dan MoU Badr ialah tanda bahawa perubahan itu sudah bermula, dan ia bergerak pantas.

Jika Malaysia tidak mengenal pasti kekuatan utamanya dan mengambil posisi sekarang, kita sama ada akan terus ketinggalan, atau terus berada di bawah hegemoni kuasa besar di rantau ini. Kekuatan kita ialah maritim dan diplomasi. Sudah tiba masanya kita memanfaatkannya.

Asyraf Farique

IRIS Institute

Full reportPakatan Mekah dan MoU Badr: Di Mana Malaysia?

Sumber

Saudi Gazette: Qatar, Indonesia, Pakistan, Turkiye sign Badr defense pact (22 Okt 2026). https://saudigazette.com.sa/article/665630/saudi-arabia/qatar-indonesia-pakistan-turkiye-sign-defense-cooperation-pact

Turkish Minute: Badr MoU (21 Okt 2026). https://www.turkishminute.com/2026/10/21/turkey-qatar-pakistan-and-indonesia-sign-defense-industry-deal/

Dawn: Makkah alliance binds partners to decade-long pact. https://dawn.com/news/2038695/makkah-alliance-binds-partners-to-decade-long-pact

The National: Full text of Makkah defence pact. https://www.thenationalnews.com/news/mena/2026/10/21/revealed-full-text-of-makkah-defence-pact-between-saudi-arabia-turkey-and-pakistan/

Geo News: More than six nations keen on joining Makkah pact. https://www.geo.tv/latest/684747-more-than-six-nations-keen-on-joining-makkah-defence-pact-dpm-dar

Dawn: Bangladesh would consider joining Makkah pact. https://www.dawn.com/news/2025540/bangladesh-to-positively-consider-joining-makkah-pact-if-invited-foreign-minister

Wikipedia: Mecca Defence Alliance. https://en.wikipedia.org/wiki/Mecca_Joint_Defence_Agreement

Middle East Institute: Pakistan–Saudi defense pact. https://mei.edu/publication/pakistans-strategic-defense-pact-saudi-arabia-new-security-architecture-wider-middle/

SIPRI: Trends in International Arms Transfers, 2025 (Mac 2026). https://www.sipri.org/sites/default/files/2026-03/fs_2603_at_2025.pdf

The Vibes: Malaysia demands RM1b from Norwegian defence firm. https://www.thevibes.com/articles/news/123134/malaysia-demands-over-rm1-billion-from-norwegian-defence-firm-over-cancelled-missile-system

SCMP: Malaysia demands US\$257 million. https://www.scmp.com/week-asia/politics/article/3358465/malaysia-demands-us257-million-norwegian-firm-over-axed-missile-deal

The Star: Putrajaya halts new procurement from Norway (8 Jul 2026). https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/07/08/putrajaya-immediately-halts-new-procurement-of-defence-equipment-from-norway-says-fahmi

The Edge: alternative missile offers. https://theedgemalaysia.com/node/805568

Malay Mail: compensation claim expected to take time (5 Okt 2026). https://www.malaymail.com/amp/news/malaysia/2026/10/05/defence-minister-lcs-missile-compensation-claim-expected-to-take-time/237829

Malay Mail: Defence Cooperation MoU with US (Dis 2025). https://malaymail.com/news/malaysia/2025/12/13/defence-cooperation-mou-with-us-unrelated-to-trade-pact-says-khaled-nordin/201785

Bernama: Malaysia–Japan sign Official Security Assistance (OSA) 2026 (21 Okt 2026). https://bernama.com/en/general/news.php?id=2623697

About the author

Asyraf Farique

Chief Operating Officer

Chief Operating Officer of IRIS Institute. His research covers China's influence in Malaysia and Southeast Asia, maritime security and Malay socio-economic history.

Profile and writing