Strategic · Global · Distinctive
IRIS Institute
Contact
Contact us

admin@iris.institute 018-208 4917

Radar

U Mobile, Dua Syarikat China Bangun Rangkaian 5G Kedua Malaysia, Risiko Kawalan Asing ke atas Infrastruktur Komunikasi Negara

Kerjasama antara U Mobile, Huawei dan syarikat milik kerajaan China, ZTE Corporation dalam pembangunan rangkaian 5G kedua Malaysia…

Kerjasama antara U Mobile, Huawei dan syarikat milik kerajaan China, ZTE Corporation dalam pembangunan rangkaian 5G kedua Malaysia berisiko mendedahkan infrastruktur komunikasi negara kepada pengaruh kawalan asing.

Pada Ogos lalu, U Mobile memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Huawei dan ZTE untuk menggunakan teknologi perkakasan dan perisian canggih kedua-dua syarikat dari China itu dalam pembangunan rangkaian 5G kedua negara.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen, “U Mobile gembira menerima sokongan Huawei Malaysia untuk penggunaan rangkaian 5G kedua. – Berita Harian

Katanya, sebagai rakan kongsi jangka panjang, kami telah mendapat manfaat teknologi serta kepakaran global daripada Huawei Malaysia dan kami percaya mereka akan terus memainkan peranan penting dalam membantu kami meningkatkan pengalaman 5G selain persediaan kami untuk menggunakan teknologi RAN masa hadapan.” – Berita Harian

Dalam kenyataannya yang berasingan, Woon Ooi Yuen berkata “kerjasama terbaru U Mobile dengan ZTE merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami untuk membawa perkhidmatan dan penyelesaian 5G yang mampu milik dan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia. – U Mobile

Tambah beliau, kami percaya teknologi canggih dan pandangan global ZTE akan membolehkan kami membina rangkaian 5G kedua dengan pantas dan berkesan, sambil mempersiapkan rangkaian kami untuk teknologi masa depan yang direka bagi memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan.” – U Mobile

Dalam pada itu, kerjasama U Mobile, ZTE turut melibatkan reka bentuk rangkaian, perancangan, pelancaran, operasi dan mengoptimumkan penggunaan rangkaian 5G kedua. – U Mobile

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 1 November mengumumkan bahawa projek Rangkaian 5G Kedua Malaysia telah dianugerahkan kepada U Mobile Sdn Bhd, menewaskan pesaing utamanya seperti Maxis Berhad, CelcomDigi Berhad, dan Telekom Malaysia. – Berita Harian, Astro Awani

Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan pihaknya sudah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia. – Berita Harian

Dalam kenyataan balas pada 2 November, U Mobile menekankan kepentingan perkongsiannya dengan penyedia teknologi 5G global, Huawei. Selain itu, U Mobile turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain seperti CelcomDigi dan Telekom Malaysia dalam perkhidmatan 5G. – U Mobile

Walaupun terdapat persaingan sengit antara empat syarikat telekomunikasi tempatan terbesar untuk memperoleh projek rangkaian 5G kedua di Malaysia, pembekal teknologi bagi rangkaian ini telah ditetapkan lebih awal.

Pada 27 September 2023, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata peralihan kepada rangkaian 5G kedua negara akan membolehkan penyertaan yang lebih berkesan oleh Huawei dari China, sekaligus memberikan negara ini keseimbangan antara teknologi Barat dan Timur. – Reuters

Amerika Syarikat, Australia, dan beberapa negara Eropah telah mengehadkan atau melarang penyertaan Huawei dalam infrastruktur 5G mereka kerana kebimbangan mengenai keselamatan negara serta dakwaan hubungannya dengan perisikan ketenteraan China. – FMT

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab

Asalnya diterbitkan di FOKUS.

Continue reading

More insights

All insights