Ringkasan Eksekutif

Operasi ketenteraan berskala besar AS dan Israel terhadap Iran yang bermula akhir Februari 2026 telah mencetuskan gangguan berantai terhadap laluan tenaga, perdagangan, dan keselamatan global. Penutupan Selat Hormuz sejak 2 Mac 2026 menjadi titik kritikal yang memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan dengan nisbah perdagangan kepada KDNK sekitar 137%.

Dokumen ini menilai implikasi langsung dan tidak langsung konflik ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran ke atas Malaysia, merangkumi sembilan domain risiko utama. Penilaian ini bertujuan memaklumkan penggubal dasar tentang tahap kesiapsiagaan negara dan jurang kritikal yang perlu ditangani segera.

Penutupan Selat Hormuz telah memutuskan sebahagian besar bekalan minyak mentah Malaysia, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara melalui lonjakan bil subsidi bahan api dalam situasi kemerosotan dividen Petronas yang ketara sebelum ini.

Sektor semikonduktor Malaysia turut terdedah secara tidak langsung melalui gangguan bekalan helium global, manakala keselamatan makanan terancam akibat kebergantungan import yang tinggi. Sudah tentu, gangguan dalam rantaian bekalan seperti  sekatan laluan menyebabkan kenaikan harga baja dunia.

Ancaman siber terhadap infrastruktur tenaga kritikal negara pula dinilai sebagai risiko operasi yang wujud secara nyata, memandangkan Iran sudah membuktikan kemampuannya menyerang infrastruktur tenaga dan digital secara serentak dalam konflik ini.

Perang ini tidak mencipta kelemahan baharu untuk Malaysia tetapi ia mendedahkan kelemahan asas yang telah lama wujud sebelum ini. Yang lebih membimbangkan, ia turut mendedahkan bahawa Malaysia belum sepenuhnya bersedia untuk menghadapi kejutan luaran yang berlaku secara serentak merentasi pelbagai domain pada masa yang sama.

Soalan yang perlu dijawab bukan sama ada Malaysia terjejas atau tidak kerana ia jelas terjejas. Soalan sebenarnya adalah sama ada Malaysia bersedia untuk menghadapi dunia yang semakin tidak menentu ini dengan lebih daripada sekadar tindak balas semasa. Jawapan kepada soalan itu perlu dibina dari dalam iaitu melalui keputusan dasar yang berani, pelaburan jangka panjang dalam keupayaan mandiri, dan keberanian untuk mengakui bahawa status quo bukan lagi pilihan yang selamat.

Untuk mendapatkan laporan penuh, sila layari: