Strategic · Global · Distinctive
IRIS Institute
Contact
Contact us

admin@iris.institute 018-208 4917

Pandangan

Penjajahan Epistemologi dan Pembinaan Etos Nasional

Penjajah sudah hampir seratus tahun meninggalkan tanah air kita, tetapi kerangka pemikiran yang ditinggalkannya masih membentuk cara kita melihat sejarah, identiti dan masa depan sendiri.

Mengapakah setelah hampir seratus tahun penjajah meninggalkan tanah air kita, kita masih belum memiliki wewenang sepenuhnya untuk menentukan hala tuju sendiri?

Malah, hari ini sesiapa sahaja yang berbicara tentang kepentingan Melayu berisiko dilabel sebagai ekstremis. Persoalannya, ekstrem menurut kategori siapa? Ekstrem terhadap siapa? Siapakah yang mempunyai wewenang untuk menentukan pengkategorian tersebut?

Penjajahan yang tidak kelihatan

Penjajahan tidak hanya berlaku dalam ruang fizikal dan geografi. Jauh lebih mendalam dan berbahaya ialah penjajahan epistemologi, iaitu penjajahan terhadap cara kita berfikir, memahami sejarah dan mentafsir realiti kehidupan sendiri.

Inilah yang menyebabkan kesan penjajahan terus berpanjangan meskipun penjajah telah meninggalkan kita. Secara fizikal mereka sudah tiada, tetapi kerangka pemikiran yang ditinggalkan masih membentuk cara kita melihat dunia, sehingga kita sendiri kadangkala lebih mengagungkan penjajah berbanding sejarah dan keupayaan bangsa sendiri.

Tiga kaedah penjajahan pemikiran

Antara kaedah penjajah menakluk pemikiran orang Melayu adalah dengan:

  1. Mengubah makna kehidupan orang Melayu. Mereka mentafsir semula bahasa, budaya, nilai dan cara hidup masyarakat Melayu.
  2. Memetakan kehidupan masyarakat Melayu. Hampir setiap aspek kehidupan dipetakan dan diberikan konsep serta kategori baharu berdasarkan kerangka pemikiran penjajah.
  3. “Mengilmukan” tafsiran tersebut. Konsep dan kategori ini dijadikan sebahagian daripada historiografi, dipamerkan di muzium dan diajarkan di sekolah-sekolah melalui sistem pendidikan.

Proses ini akhirnya membentuk psikologi masyarakat Melayu yang kurang mempunyai keyakinan dan kebanggaan terhadap identiti sendiri. Kita dibiasakan untuk melihat diri sebagai bangsa yang kecil, mundur dan tidak mempunyai keupayaan menentukan nasib sendiri.

Membina semula etos nasional

Dalam konteks ini, saya melihat usaha yang dilakukan oleh Az-Zahrah melalui Studio Kembara, menerusi karya dan penghasilan filem, sebagai satu bentuk intervensi budaya yang penting. Malah, terdapat pandangan pengkaji di Singapura yang melihat filem Mat Kilau sebagai antara pencetus kebangkitan semula arus kesedaran Melayu.

Untuk membangunkan semula etos Melayu, usaha seperti ini perlu digiatkan dan diperluas melalui wadah seperti filem dan industri kreatif, pendidikan dan pembinaan kurikulum, penulisan sejarah dan wacana intelektual, seni dan pelbagai medium kebudayaan.

Matlamatnya adalah untuk membina kesedaran generasi baharu terhadap sejarah, identiti dan realiti sebenar bangsa mereka. Akhirnya, pembinaan etos bangsa bukan sekadar bertujuan membangkitkan sentimen Melayu. Lebih daripada itu, ia merupakan asas kepada pembentukan kesedaran kebangsaan yang mampu melahirkan identiti nasional, patriotisme dan keupayaan bangsa untuk menentukan hala tujunya sendiri.

Kita tidak mungkin benar-benar merdeka sekiranya cara kita memahami diri sendiri, sejarah dan masa depan masih ditentukan oleh kerangka pemikiran penjajah.


Catatan ini ditulis selepas satu majlis bersama Guru Besar Sejarah Politik Malaysia, Prof Madya Dr Azmi Arifin, atas jemputan Hasan Syahidi.

About the author

Asyraf Farique

Chief Operating Officer

Chief Operating Officer of IRIS Institute. His research covers China's influence in Malaysia and Southeast Asia, maritime security and Malay socio-economic history.

Profile and writing