KOMPAS EDISI 4 : Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (Shared Prosperity) dan Belanjawan 2020

Wacana Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) adalah satu blueprint pembangunan baru Kerajaan Pakatan Harapan yang dilancarkan oleh Tun Mahathir pada 5 Oktober 2019 yang lalu. Menurut dokumen WKB 2030 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Negara, matlamat utama WKB 2030 adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030. Objektif WKB 2030 adalah i) Pembangunan untuk semua ii) Menangani jurang kekayaan & pendapatan iii) Negara bersatu makmur & bermaruah.
   WKB 2030 menyasarkan untuk menyelesaikan masalah jurang kekayaan antara kumpulan etnik dan wilayah di Malaysia, serta membantu meningkatkan kembali ekonomi Bumiputera yang merupakan kelompok majoriti dalam B40. Hal ini kerana, jurang pendapatan penengah bulanan antara kumpulan etnik Bumiputera dan Cina meningkat hampir 4 kali ganda daripada RM497 pada tahun 1989 kepada RM1736 pada tahun 2016. Begitu juga dengan jurang pembangunan antara wilayah menjadi semakin lebar. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, jurang pendapatan penengah isi rumah bandar dan luar bandar melebar kepada 6 kali ganda dalam tempoh 27 tahun.
   Walaupun begitu, WKB 2030 tidak mampu untuk mencapai apa yang telah disasarkan untuk merapatkan jurang kekayaan antara kumpulan etnik dan wilayah di Malaysia serta membantu meningkatkan kembali ekonomi Bumiputera. Hal ini kerana, WKB 2030 ataupun lebih dikenali sebagai ‘Shared Prosperity 2030’ hanya melakukan adaptasi kepada model berteraskan humanisme dan kapitalisme yang dipelopori oleh badan kelolaan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia pada 9 Oktober 2019, Dasar Shared Prosperity 2030 adalah selari dengan agenda Sustainable Developement Goals 2030 (SDG 2030) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Agenda SDG 2030 akan diteruskan dalam skala operasi melalui Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030).
   Shared Prosperity 2030 menurut Bank Dunia bukanlah ‘redistribution of wealth’ atau pembahagian dan penyaluran kekayaan secara adil dan sama rata antara golongan terlalu kaya kepada yang miskin, Tetapi peningkatan saiz ekonomi negara melalui konsep pembangunan berteraskan hutang. Ini menunjukkan tiada perubahan yang mendasar akan berlaku terhadap ekonomi negara kerana tidak berlaku perubahan yang struktural dan kerangka ekonomi kapitalis sedia ada masih dikekalkan.
    Dari sudut makronya, konsep pembangunan masih lagi dalam kerangka yang sama iaitu pertambahan saiz ekonomi melalui pembangunan berteraskan hutang, manakala daripada sudut mikro, tidak terdapat perubahan besar dalam hala tuju baru kelompok B40 yang majoritinya orang Melayu. Strategi yang dilaksanakan hanyalah beberapa insentif kecil untuk meningkatkan sumbangan B40 terhadap ekonomi negara selain meningkatkan jumlah pendapatan bangsa Melayu dalam B40 menjadi sama rata dengan bangsa lain dalam kelas sosial yang sama. Ia bukannya strategi mengalihkan B40 kepada kelompok M40 secara strategik dan terancang.
   Pengisytiharan gagasan WKB2030 akan melihat implementasinya yang pertama dalam belanjawan 2020. Namun, sejauh manakah hasrat dan hala tuju WKB 2030 ini benar-benar diterjemahkan ke dalam belanjawan 2020? Adakah perkara ini membawa kepada perubahan strategik terhadap bidang ekonomi, politik dan sosial serta keselamatan negara? Persoalan ini akan diteliti dalam laporan Kompas kali ini.

atau

Bermula 1 September 2019, edisi ini akan dipaparkan secara eksklusif hanya kepada pembaca yang melanggan produk analisa kami melalui sistem langganan eksklusif IRIS Institute.