IRIS Institute terima dua anugerah dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

BANGI, 26 Rejab 1440H, Selasa – Interdisciplinary Research and International Strategy Institute (IRIS Institute) – sebuah pusat kajian bebas tidak berasaskan keuntungan menerima dua anugerah dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Penganalisis IRIS Institute, Asyraf Farique berkata, buku bertajuk ‘Identiti Politik dan Ekonomi alam Melayu ‘ menerima anugerah buku umum terbaik kategori sejarah manakala ‘PenChinaan Malaysia’ menerima anugerah kategori geopolitik.

Beliau berkata, buku ‘Identiti Politik dan Ekonomi alam Melayu’ adalah kompilasi kertas kerja penyelidik sejarah tempatan berkaitan identiti politik ekonomi alam Melayu.

Katanya, buku ini mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan dan ia disunting Naib Presiden Isma, Dr Norsaleha Mohd Salleh.

“Antara pengkaji IRIS Institute yang menulis artikel dalam buku ini adalah Fahmi Bahrudin. Sementara buku ‘PenChinaan Malaysia’ bermula sejak awal 2017 penulisannya dan kajian dilakukan sejak 2015 lagi.

“Buku ini mengambil masa lapan bulan untuk diterbitkan. Saya selaku ketua editor bagi buku ini menulis bersama sebahagian pengkaji lain,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sebagai wakil IRIS Institute, Asyraf mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama lembaga pengarah yang memberikan kepercayaan dan tunjuk ajar kepada pusat kajian itu selama hampir empat tahun penubuhannya.

“Terima kasih kepada pengkaji IRIS Institute yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam penerbitan buku ini, pasukan penerbitan yang bertungkus lumus daripada proses mereka bentuk muka hadapan buku sehinggalah proses suntingan.

“Terima kasih juga kepada penerbit Abad Sinergi atas kerjasama dalam penerbitan buku-buku kajian kami. Akhir sekali, ini hanyalah sebuah permulaan daripada perjalanan panjang kami membina sebuah pusat kajian strategi terulung dan terunggul di dunia. Tanpa disiplin dan pengorbanan yang tinggi, cita-cita ini mustahil untuk direalisasikan,” katanya.

Asyraf berkata, IRIS Institute akan sentiasa menyediakan penerbitan ilmiah yang berkualiti tinggi dan bermanfaat untuk masyarakat secara khusus dan dunia secara umum.

“Insya-Allah pada masa hadapan penulisan kami akan menemui pembaca dalam Bahasa Arab. Penerbitan dalam Bahasa Inggeris sudah dikeluarkan.

“Bagi anda yang berminat untuk bersama kami, boleh menghantar resume anda ke admin@iris.institute. Manakala yang berminat untuk membeli buku terbitan IRIS Insitute, anda boleh melayari laman sesawang kami https://iris.institute/buku/,” katanya.

* Artikel ini pernah disiarkan dalam laman berita Ismaweb bertarikh 2 April 2019