1. Secara rasionalnya, projek Belt dan Road China di peringkat antarabangsa bukan lagi projek yang boleh dihalang oleh mana-mana negara. Kemampuan dan kehendak China sebagai sebuah kuasa besar (dan mungkin menggantikan US sebagai kuasa hegemoni) tidak mungkin boleh dihentikan atau ditolak melainkan dengan harga yang terlalu mahal untuk dibayar oleh mana-mana negara, lebih-lebih lagi negara seperti Malaysia.

2. Namun jika diteliti dalam pelbagai kes-kes yang melibatkan negara berbeza, cara dan kebijakan setiap negara yang menerima pelaburan China memainkan peranan yang besar dalam menentukan sejauhmana pelaburan tersebut bersifat ‘neo-kolonialis’ atau ‘win-win’ dalam maksud ekonomi.

3. Kemenangan PH semalam dan pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri (setelah angkat sumpah, jika diperkenan oleh DYMM) mengundang diskusi lanjutan mengenai halatuju projek-projek Belt and Road di Malaysia.

4. Dalam kenyataan Tun Dr Mahathir pada hari ini, beliau memberi jawapan mengenai projek Belt and Road khususnya di Malaysia di mana menurut beliau segala perjanjian dengan China akan dinilai semula dan dirunding semula. Beliau turut memberi isyarat kehadiran China dalam bentuk ketenteraan tidak diingini oleh Malaysia.

5. Pada tahun lepas beliau pernah menyatakan kegusaran ke atas penguasaan China di rantau Asia Tenggara di mana menurut beliau melalui penguasaan ekonomi China boleh mempengaruhi kerajaan-kerajaan yang ada tanpa perlu menjajah secara fizikal.

6. Secara umum, pendirian beliau ini (jika dipersetujui juga oleh pimpinan parti PH yang lain, dan dipersetujui oleh kabinet yang akan dibentuk) adalah lebih baik berbanding pendirian DS Najib sebelum ini yang hanya tertumpu pada merebut peluang ekonomi dalam projek Belt and Road.

7. Walau bagaimanapun, pendirian Tun Dr Mahathir tidak mudah untuk diterjemah ke dalam bentuk implementasi dan polisi.

8. Ada beberapa faktor penting yang akan menentukan sejauhmana pandangan umum Tun Dr Mahathir boleh memberi bentuk baru dalam pendirian Malaysia terhadap China khususnya faktor domestik seperti kepentingan syarikat dan ahli perniagaan yang sudah terlibat dalam pelaburan China dan faktor kepentingan elit politik di peringkat nasional dan negeri (termasuk pendirian Sultan).

9. Selain itu, perlu diingat bahawa dalam kebanyakan projek pelaburan dari China, di peringkat implementasi ianya melibatkan syarikat-syarikat dari China yang semestinya berorientasikan keuntungan yang boleh disukat (tangible) meskipun perjanjian di peringkat atasan ialah perjanjian antara kerajaan (samada nasional atau negeri) dengan kerajaan, yang mungkin sanggup bertolak ansur soal keuntungan dengan soal lain seperti kedaulatan negara dan penerimaan rakyat tempatan. Oleh itu, rundingan semula terhadap projek-projek China di Malaysia juga perlu berhadapan dengan aktor-aktor bisnes tersebut, selain daripada aktor-aktor politik dari China.

10. Dalam keadaan sekarang adalah terlalu awal untuk mengatakan Tun Dr Mahathir memiliki kemampuan yang tinggi untuk memperbaiki situasi pelaburan China di Malaysia, apatah lagi dalam tempoh-tempoh awal selepas PRU ini, terdapat banyak urusan-urusan hal ehwal domestik serta politik dalaman yang lebih mustahak pada perspektif beliau dan pimpinan parti yang lain. Tentunya ini turut akan mempengaruhi dinamika kerajaan nanti dalam mengurus pelaburan dari China.

11. Satu faktor yang mungkin boleh memastikan beliau dan kerajaan baharu yang dibentuk nanti benar-benar melakukan rundingan semula dengan China adalah tekanan berterusan daripada rakyat. Demi memastikan kedaulatan negara dan masa depan negara benar-benar selamat, rakyat harus memainkan peranan mengangkat isu ini dan memastikan ia tidak dijadikan sekadar sebagai janji manis politik pihak kerajaan sahaja.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
CEO IRIS Institute

————————————-
Kepada yang berminat untuk melakukan pembelian buku Penchinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa, boleh lakukan pembelian dengan klik pada pautan dibawah:

http://bukupenchinaanmalaysia.wasap.my/