Perkataan “tamaddun” berpunca dari kata akar ma da na dan kata nama atau kata terbitan “madinah” (kota) yang memberi maksud “pembangunan di kota”.

Dalam bahasa Inggerisnya “civilization. Perkataan yang sama telah digunakan dalam bahasa Melayu “tamadun”. Dari kata akar yang sama juga lahirnya perkataan “madaniyyah” terjemahan Melayunya “perbandaran” atau urbanization dalam bahasa Inggeris. Perbezaannya ialah tamaddun merupakan kata nama dan madaniyyah kata sifat.

Madaniyyah merupakan proses ketamadunan. Sebelum berlakunya tamadun, berlaku penempatan dan perbandaran di sebuah kawasan yang akhirnya menjadi bandar atau kota di mana penduduknya bergiat aktif dalam bidang perindustrian, kesenian, sains dan teknologi sehingga tercetusnya kehidupan dan budaya kota. Masyarakat yang tinggal di kota disebut “madani” atau masyarakat sivil atau masyarakat moden.

Oleh: Profesor Dr. Mahayudin bin Hj Yahaya Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Negara Brunei Darussalam