Senjata biologi ataupun tidak, terancang ataupun tidak, pertarungan kuasa besar ataupun tidak, pandemik COVID-19 yang terjadi pada hari ini telah membuktikan satu perkara yang jelas mengenai sifat yang terdapat pada sebuah kuasa unipolar seperti US iaitu kepura-puraan. Sarjana hubungan antarabangsa, Martha Finnemore, menyatakan bahawa ‘hypocrisy’ atau kepura-puraan adalah satu sikap yang dimiliki oleh mana-mana kuasa moden yang ingin kekal mempertahankan statusnya sebagai kuasa unipolar.
Jika dahulu pasca 9/11, kita melihat sikap itu terzahir pada pemaksaan US ke atas negara-negara lain untuk menerima sistem demokrasi dan perubahan rejim. Mereka yang melawan ditahan dan diseksa di dalam kem-kem tahanan tanpa perbicaraan yang adil, atau ditekan sehingga tunduk kepada kehendak kuasa besar itu. Sebagai sebuah negara yang menjunjung demokrasi dan hak asasi individu, tentu sekali itu semua merupakan bukti ‘hypocrisy’ kuasa unipolar tersebut.
Manakala dalam situasi pandemik pada hari ini, sekali lagi sikap tersebut terpapar dengan jelas. Hampir setiap hari berita dan akhbar melaporkan perkembangan dan polisi-polisi baru US samada terhadap negaranya sendiri atau terhadap dunia yang menyerlahkan ‘hypocrisy’ US sebagai sebuah kuasa unipolar. Mengumpul stok peralatan kesihatan untuk negaranya sendiri, ancaman menghentikan sumbangan kepada WHO, malah di peringkat akar umbi rakyat sebuah negara yang sepatutnya menjadi ‘role model’ kepada rakyat negara lain, melakukan protes ke atas polisi ‘lockdown’ atas alasan-alasan picisan dan mementingkan diri.
Adakah disebabkan ini, dunia akan menyaksikan satu suasana baru di bawah naungan sebuah kuasa besar yang baru? Ramai yang menganalisa dan menjangkakan bahawa China bakal menggantikan US, khususnya apabila China berjaya (secara relatif) memaparkan imej mengambil berat, menghulur bantuan, dan kerjasama terhadap negara-negara lain. Hakikatnya, imej yang dilakar oleh China juga merupakan satu ‘hypocrisy’ jika dihimpunkan dengan pelbagai lagi tindakan China yang menekan dan menjerat negara-negara lain dalam perangkap hutang pembangunan.
Keluar mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Peribahasa ini tepat dalam mengungkap pilihan yang ada bagi warga dunia hari ini. Negara-negara kuasa besar yang ada, meskipun kelihatan kuat dan gagah dari sudut material (ekonomi, pertahanan, media, dan sebagainya) namun punah dan lemah dari sudut moral untuk mentadbir dunia. Keras di luar tetapi sebenarnya rapuh di dalam. Kerana ini masalah-masalah dunia yang bersifat sistemik tetap tidak akan mampu diatasi.
Bukan mahu bersifat romantis terhadap sejarah namun satu fakta yang sukar disangkal adalah tamadun Islam semenjak ia didirikan oleh Rasulullah s.a.w memiliki aset kekuatan luar dan dalam yang tidak dimiliki oleh bangsa lain. Kunci rahsianya terletak pada keterhubungan tamadun ini dengan pengetahuan dari langit yang diungkapkan menerusi Al-Quran dan diterjemahkan oleh Rasulullah dalam As- Sunnah. Bukankah tamadun ini merupakan tamadun yang cuba diikut jejaknya oleh empayar dan bangsa lain yang hadir selepasnya?
Realiti umat Islam hari ini memang jauh daripada realiti tamadun Islam terdahulu. Satu faktor besar ialah kerana umat Islam hari ini telah hilang kekuatan yang dahulu dimiliki. Ia menjadi aset tertimbus yang tidak diteroka semula kecuali beberapa kerat manusia daripada umat ini. Dalam hal ini, kerugian tidak menjadi umat yang kuat bukan sahaja ditanggung oleh negara-negara Islam malah keseluruhan dunia turut merasainya. Demikian hujah Abul Hasan Ali an-Nadwi dalam tulisannya ‘Maza khasira al-‘alam bi inhitat al-Muslimin’ (Kerugian Yang Ditanggung Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam).
Bulan Ramadhan adalah bulan di mana Allah s.w.t sendiri melaksanakan tentu ukur semula (recalibration) dan penetapan semula (reset) ke atas jiwa umat Islam. Jika diteliti, pakej yang disusun oleh Allah s.w.t dalam bulan Ramadhan adalah pakej lengkap yang akan mengembalikan kekuatan kepada umat Islam.
Pertama, pembinaan kekuatan jasmani melalui latihan menahan diri daripada ‘consumption’ agar menjadi umat yang tidak manja keperluan jasadnya. Kedua, pembinaan kekuatan emosi melalui seruan menjaga hati daripada sebarang bentuk perasaan negatif ketika berpuasa, agar menjadi umat yang memiliki ‘self-control’ yang tinggi dan sentiasa tenang dalam berinteraksi dengan masalah di dunia. Ketiga, pembinaan kekuatan intelek (kefahaman) melalui seruan mendalami Al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadhan, agar menjadi umat yang membina kerangka kefahaman tersendiri dalam meneroka keluasan rahsia Allah dalam mentadbir bumi. Keempat, pembinaan rohani melalui penumpuan ibadah dan khalwah (mengasingkan diri daripada dunia) sepanjang Ramadhan, agar menjadi umat yang tinggi jiwa dan moralnya kerana bersandar hanya kepada Yang Maha Berkuasa.
Program pembinaan kekuatan ini telah direka bentuk dan disusun oleh Allah s.w.t sendiri. Ia berjaya melahirkan manusia-manusia ‘legendary’ yang mustahil lahir dari rahim ketamadunan selain Islam. Jika umat Islam mendalami dan mengambil sikap bersungguh-sungguh dalam bulan Ramadhan, umat Islam pasti boleh menemui semula kekuatan asal mereka.
Seluruh dunia sedang menantikan hadirnya tampuk kepimpinan yang amanah, adil, bertanggungjawab, dan berhikmah dalam mentadbir alam ini. Umat Islam tiada pilihan selain menjadi kuat untuk menyelamatkan kemanusiaan yang kian lama kian terkorban.
Selamat menjalani bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan.
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
IRIS Institute