PANDANGAN IRIS INSTITUTE TERHADAP PERLANTIKAN KABINET BAHARU

1. Komposisi kabinet baharu dibentuk atas faktor menjaga kepercayaan dan sentimen daripada kelompok pengundi majoriti di Malaysia iaitu orang Melayu.

2. Faktor ini adalah faktor terbesar, lebih-lebih lagi dalam keadaan kerajaan yang ada masih belum kuat sepenuhnya daripada dicabar legitimasinya. Tan Sri Muhyiddin mengharapkan sokongan orang Melayu secara am melalui pelantikan kabinet baharu ini.

3. Jika diukur di atas pertimbangan tersebut, komposisi yang ada berkemungkinan besar mampu mencapai objektif yang dikehendaki oleh Tan Sri Muhyiddin.

4. Faktor di atas juga secara tidak langsung boleh mewujudkan kestabilan yang baru setelah satu fasa ketidaktentuan di bawah kerajaan PH. Nilai kestabilan ini adalah nilai yang kurang difahami/dihargai oleh kebanyakan orang sehinggalah ketidaktentuan itu mendominasi dan mencetuskan masalah.

5. Namun sebagai satu tradisi semenjak penjajahan British, kerajaan di Malaysia sentiasa terikat dengan satu peraturan tidak bertulis dalam pembentukan kabinet dan pembuatan polisi iaitu kepentingan (‘interest’) kelompok elit taikun (golongan pemodal) haruslah dijaga, atau sekurang-kurangnya tidak dicabar.

6. Dalam situasi kepentingan kelompok pemodal itu selari dengan kepentingan majoriti rakyat Malaysia, kabinet tidak akan menghadapi masalah yang besar. Namun seperti yang turut berlaku di negara lain, kepentingan itu selalunya bertembung.

7. Kerajaan akan terdesak untuk melakukan ‘penyelarasan’ kepentingan dengan memainkan peranan sebagai ‘mediator’ di antara kelompok pemodal dan rakyat majoriti yang mengundi mereka. Dalam hal ini, jurang pengaruh/kuasa antara rakyat kebanyakan dengan kelompok pemodal akan menyebabkan menteri/timbalannya cenderung menjaga kepentingan kaum pemodal berbanding kepentingan rakyat majoriti.

8. Lebih-lebih lagi jika kerajaan tersebut merasakan sokongan rakyat terhadapnya agak utuh, seperti yang dibayangkan oleh kerajaan PH sebelum ini. Oleh itu, kebanyakan polisi yang diambil oleh menteri dalam kerajaan PH secara terang-terangan menguntungkan kelompok pemodal berbanding kemaslahatan rakyat biasa untuk jangka masa yang lebih panjang.

9. Fenomena yang sama sebenarnya turut berlaku pada penggal kedua kabinet BN di bawah DS Najib.

10. Kedua-dua kabinet tersebut telah menerima padahnya apabila sentimen penolakan rakyat majoriti (orang Melayu) telah memuncak. Walaupun tidak semua sentimen itu diterjemah kepada undi namun faktor itu diakui memainkan peranan besar dalam menghilangkan legitimasi kedua-dua kabinet yang dinyatakan di atas.

11. Kerajaan PN dan kabinet yang baharu dibentuk harus membuktikan bahawa ia adalah kabinet yang jauh lebih baik dalam soal ini. Kepercayaan dan sokongan orang Melayu selaku rakyat majoriti tidak boleh sekadar dipamerkan dalam komposisi kabinet namun ianya harus dipikul sebagai satu amanah yang sebenar.

12. Mungkin telah sampai masanya peraturan tidak bertulis sejak kemerdekaan itu benar-benar dicabar demi kemaslahatan rakyat.

SYED AHMAD ISRAA’ SYED IBRAHIM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
IRIS Institute

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *